Tuesday 11 October 2011

Sejarah Bahasa Melayu

Asal usul orang-orang Melayu amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam. [2] Bagaimanapun, istilah "Melayu" adalah sangat baru dan timbul buat pertama kali dalam tulisan Cina antara tahun 644 dan 645 Masihi. Tulisan itu menyebut orang Mo-lo-yeu, tetapi letaknya kerajaan Mo-lo-yeu ini tidak dapat dipastikan: ada yang mengatakan di Semenanjung Tanah Melayu dan ada yang mengatakan di Jambi, Sumatera.

Bahasa Melayu berasal dari Asia Tengah

Menurut beberapa teori, penutur-penutur bahasa Melayu berasal daripada golongan Austronesia yang datang sejak 2500 SM dari daerah Yunan dalam beberapa bentuk gelombang pergerakan manusia dan menduduki wilayah Asia Tenggara. [2] Golongan pertama ini dipanggil Melayu Proto. Kemudian, pada kira-kira tahun 1500 SM, datangnya golongan kedua pula yang menduduki daerah pantai dan tanah lembah di Asia Tenggara yang dipanggil Melayu Deutro.

Menurut ahli-ahli bahasa dan sejarah ini, Melayu Moden berasal daripada bahasa Melayu Klasik dan bahasa Melayu Klasik berasal daripada bahasa Melayu Induk. Bahasa Melayu Induk berasal daripada bahasa Melayu Purba yang juga merupakan asal daripada bahasa Melayu Kuno.

Ini bermakna bahasa Melayu Moden bukanlah merupakan pengembangan daripada dialek Johor-Riau dan bahasa Melayu Moden tidak begitu rapat hubungannya dengan dialek yang lain. Dialek yang lain berasal daripada Melayu Induk manakala dialek Johor-Riau berasal daripada Melayu Klasik.

Bahasa Melayu berasal dari Kepulauan Melayu

Penemuan orang Jawa yang berusia ribuan tahun menunjukkan Kepulauan Melayu sudah dihuni manusia, dan bukannya berasal dari Asia Tengah seperti pendapat sesetengah ahli sejarah.

J. Crawfurd telah membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa (bahasa Jawa) dan bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera (bahasa Melayu).

Bahasa Jawa dan bahasa Melayulah yang merupakan induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di Nusantara ini berdasarkan bukti bangsa Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi dalam abad ke 19. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah mengalami perkembangan budaya beberapa abad lamanya.

Berdasarkan perbandingan bunyi dan bentuk kata bahasa Campa dan pelbagai bahasa di Asia Tenggara, bahasa Melayu Polinesia tidaklah serumpun dengan bahasa Campa.

Berdasarkan struktur ayat dan perbendaharaan kata bahasa Campa dan Mon-Khmer, bahasa Melayu dan Champa bukanlah serumpun. Beliau merumuskan bahawa bahasa Melayu yang terdapat dalam kedua-dua bahasa di atas merupakan bahasa ambilan sahaja.

No comments:

Post a Comment